"Ya Allah Ya Tuhanku.... Sesungguhnya kepada Engkau aku meminta dan tempat untuk aku mengadu. Kau lindungilah aku, keluargaku dan teman-temanku serta muslimin dan muslimat daripada kejahatan dan tipu daya syaitan yang di rejam. Kau permudahkanlah segala urusan seharian kami, murahkanlah rezeki kami, berkatilah perjalanan hidup kami. Tunjukanlah kami agar terus berada di jalan yang lurus & diredhai Mu Ya Allah. Sesungguhnya hanya kepada Engkau aku berserah... Aamiin..."

Jumaat, 27 Mei 2011

Cerpen1: Cinta Hanya untuk Kamu

“Mungkin antara kita tiada jodoh. Laila mesti terima takdir antara kita sampai di sini saja” itulah kata-kata akhir daripada Razif. Lailatul dan Razif sudah 8 tahun bercinta. Perancangan mereka untuk mengakhiri perhubungan dengan sebuah perkahwinan hancur berkecai. Razif sudah bertemu dengan kekasih hati yang baru.

“Apa gunanya kau meratap tangis macam ni Laila? Along tak nak tengok adik Along jadi macam ni. Sekarang tak ada jaminan walaupun kau dah bercinta 10 tahun sekalipun. Kalau hati dan perasaan dah berubah tak ada apa yang boleh dibuat. Kau kena banyak-banyak tawakal” itu saja yang mampu dikatakan oleh kakak Lailatul.

“Laila nak pergi Kuala Lumpur Along. Muz dah tolong carikan kerja untuk Laila kat sana. Muz cakap kat pejabat tempat dia kerja ada kosong. Dia terus recommend Laila. Hujung minggu ni masuk kerja” jelas Lailatul kepada kakaknya tentang niatnya untuk bekerja di Kuala Lumpur.

“Esok kau mula kerja. Kau jangan risau, kat sana semua staf baik-baik dan mesra sangat. Macam aku lah” gelak Muzlifa dengan riang. Lailatul dan Muzlifa adalah sahabat karib sejak dari kecil lagi. Selepas tamat belajar di universiti, Lailatul hanya menjalankan kerja-kerja kampung kerana Razif tidak mengizinkan Lailatul berjauhan darinya. Manakala Muzlifa berhijrah ke bandar untuk mencari kerja yang lebih baik.

“En. Rahim nak saya yang handle projek tu? Pengalaman saya pun masih cetek lagi la En. Rahim. Dalam syarikat ni pun baru setahun. Ramai lagi yang berkebolehan dan berpengalaman daripada saya” Lailatul terkejut bila diberitahu oleh ketua bahagiannya bahawa dia akan bertanggungjawab ke atas sebuah projek baru. “Syarikat Aman Mewah terutama saya percaya kepada kebolehan awak, Laila. Selama setahun ni, apa yang awak tak boleh buat. Pihak syarikat juga bangga ada pekerja macam awak. Lagipun awak memang layak dari segala sudut. Tolonglah jangan hampakan harapan saya dan syarikat. Lagipun saya adalah penyelia awak” harapan yang diberikan En. Rahim dan syarikat amat besar. Walaubagaimanapun, Lailatul sanggup menghadapinya.

“Hebatlah kau ni Laila. Aku tabik dengan kau” bangga Muzlifa dengan sahabatnya itu. “Ini semua pun jasa kau juga Muz. Tanpa kau, aku tentu tak kemana. Tentu sekarang aku masih kat kampung lagi dengan kerja-kerja kampung tu. Entah-entah duk meratap tangis lagi terhadap lelaki yang separuh mati aku percayakan tu” Lailatul dan Muzlifa berpelukan sambil menangis sedih dan gembira.

“Selamat pagi. Boleh saya tolong Cik?” manis dan ramah sekali penyambut tetamu Syarikat Makmur Indah. Kehadiran Lailatul ke sana untuk membincangkan tentang projek yang akan dipertanggungjawabkan kepadanya. Dia di arahkan bertemu dengan CEO Syarikat Makmur Indah oleh En. Rahim. “Saya Lailatul Lazim dari Syarikat Aman Mewah. Saya dah buat temujanji dengan En. Fakhrul, CEO Syarikat Makmur Indah untuk bincangkan pasal projek kerjasama terbaru diantara Aman Mewah dan Makmur Indah.
“I’m Fakhrul Faiz Farizi, CEO Syarikat Makmur Indah. You can call me Fakhrul or Faiz but not Farizi, cause that’s my father’s name… Are you okay Cik Lailatul?” pertama kali bertemu CEO Syarikat Makmur Indah membuatkan Lailatul tergamam. Macam-macam andaian yang dibuat sebelum ini. Dia gambarkan CEO Syarikat Makmur Indah seorang yang tua. Rupanya muda dan bergaya.

“Muz, semua orang tengok dia boleh jatuh cinta pandang pertama kau tahu tak. Tapi aku taklah. Aku cuma nak jelaskan kat kau betapa sempurnanya dia. Segak, bergaya, kaya, semualah ada pada dia. Tapi mungkin juga dia dah berpunyakan? Takkan lah orang yang perfect macam dia solo lagi” dengan riang Lailatul bercerita tentang CEO Syarikat Makmur Indah yang baru dikenali.

“Kenapa awak lewat Cik Lailatul? Bukankah kita dah janji pukul 10 pagi kat sini? Sekarang dah pukul 11. Satu jam awak lewat. Saya bukan tunggul nak tunggu awak. Nasib baik saya call En. Rahim. Kalau tak, dah lama saya batalkan kontrak ni. Saya tak suka orang yang tak tepati masa dan janji” dengan panjang lebar Fakhrul Faiz menjelaskan. “Saya minta maaf banyak-banyak En. Fakhrul, tadi jalan jammed” terang Lailatul. “Awak dah kekeringan alasan atau awak nak buat lawak dengan saya? Memang lah KL ni always jammed but, you must remember one thing. If you have appointment at 10, you must go out early. Dah salah nak cari macam-macam alasan pula. Saya pantang orang yang suka beri macam-macam alasan macam awak ni” dengan bongkak Fakhrul cuba menjatuhkan maruah dan imej Lailatul di hadapan tiga orang staf Syarikat Makmur Indah yang datang bersamanya. “En. Fakhrul jangan fikir pantang En. Fakhrul saja. Saya pun ada pantang juga. En. Fakhrul nak tahu tak apa pantang saya? Pantang saya bila orang cuba judge seseorang tanpa soal selidik perkara sebenar. Action dibelakang tabir lebih perit daripada action yang berlaku dihadapan. Do you understand what I said?” Lailatul melepaskan geram dan berlalu pergi tanpa memikirkan kesan ke atas kerjasama antara Syarikat Aman Mewah dan Syarikat Makmur Indah.

“Aku tak kisah Muz kalau kena pecat pun. Untuk apa aku kerja dengan orang sombong dan bongkak macam tu? Aku tak sempat pun nak pergi hospital sebab takut lambat. Akhirnya aku dapat cacian macam tu. Memang la aku tak ada apa-apa, tapi mana la tahu kalau ada patah kat dalam” sakit hati Lailatul bila ingatkan kembali apa yang di katakan oleh Fakhrul.

Fakhrul tidak dapat melelapkan mata kerana memikirkan keadaan Lailatul. Selepas Lailatul balik, Fakhrul terus menghubungi En. Rahim. Dari situlah kebenaran diketahui. Lailatul lewat kerana kemalangan. Apa yang lebih merisaukan Fakhrul, Lailatul hendak menarik diri dari meneruskan kerjasama. Dia rela dipecat dari terus berhubung dengan lelaki sombong dan bongkak. ‘Sombong ke aku ni? Tapi ada benarnya jugakan, action dibelakang tabir lebih perit daripada action yang berlaku dihadapan’ Fakhrul tersenyum sendiri, memahami apa yang hendak dikatakan oleh Lailatul.

“Masalahnya sekarang ni, dia tak nak orang lain. Dia nak awak juga yang handle projek ni. Laila, tolonglah. Kalau tak, kerjasama ni takkan diteruskan. Sebelum perkara ni diketahui oleh Tuan Rasyid, CEO Syarikat Aman Mewah baik awak teruskan perbincangan antara awak dengan En. Fakhrul. Tuan Rasyid dengan Tuan Farizi kawan baik dari dulu lagi. Jangan disebabkan awak, hubungan mereka musnah. En. Fakhrul tunggu awak tempat biasa pukul 3 petang hari ini” En. Rahim separuh merayu kepada Lailatul.

“Terima kasih sudi untuk jumpa saya hari ni. Cik Laila nak makan apa?” dengan lembut dan bersopan teguran dan pelawaan Fakhrul kepada Laila. ‘Buang tabiat ke apa mamat ni, cakap lembut-lembut ngan aku’. Bebel Laila sendiri. “Tak apa la Encik Fakhrul, saya datang ni pun atas arahan En. Rahim untuk teruskan agenda kerjasama antara Aman Mewah dan Makmur Indah. Lebih baik kita teruskan kepada agenda tersebut, lagipun saya banyak kerja lagi kat pejabat tu. Maklum la saya makan gaji je” dengan penuh makna yang tersirat Laila menuturkan kata-kata. ‘Hai awek ni, macam perli aku je’ bisik Fakhrul sendiri.

“Kenapa Tuan Rasyid nak jumpa saya En. Rahim? Saya ada buat salah apa-apa ke? Perbincangan saya dengan En. Fakhrul hari tu okey je. Dia pun dah setuju nk tandatangan kontrak dengan syarikat kita. Takkan la dia mungkir janji sebab saya tolak pelawaan dia untuk makan?” konfius Laila tentang perkhabaran En. Rahim yang Tuan Rasyid ingin bertemunya. “Awak pergi je Laila, ada la tu benda yang nk di bincangkan dengan awak. Saya pun tak pasti sangat. Entah ada kena mengena dengan kerjasama Syarikat Makmur Indah ke tak saya pun tak tahu. Awak jangan la risau, Tuan kita tu makan nasi lagi, tak pernah pula saya dengar dia makan orang” dengan senyum kambing En. Rahim berlalu pergi. ‘Buat lawak pula orang tua ni’ bebel Laila.

“Saya minta maaf Tuan kalau saya ada salah apa-apa sepanjang saya dalam syarikat ni. Kalau pasal kerjasama dengan Syarikat Makmur Indah, itu je yang termampu saya buat” degan ikhlas Laila meluahkan apa yang terbuku di hati walaupun perasaannya ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu.

“Masalahnya Muz kenapa aku? Macam dah tak ada orang lain. Entah-entah mamat tu gila apa? Atau dia nak kena kan aku? Apa aku nak buat ni Muz?” dengan wajah yang sedikit cemas dan keliru Laila menceritakan kepada Muzlifa tentang perkara yang dibincangkan bersama Tuan Rasyid pada tengah hari tadi. “Betul la tu, mamat tu dah jatuh cinta kat kau la tu. Mungkin cinta pandang pertama. Apa mat saleh cakap? First love… ni bukan saja permintaan Tuan kita tapi permintaan penasihat dan penaung Syarikat Makmur Indah, Tuan Farizi. Kau patut bersyukur sebab bukan senang nak bersua muka dengan keluarga Tuan Farizi. Lebih-lebih lagi tentang perasaan cinta si teruna sendiri” panjang lebar jawapan yang diberikan Muzlifa sambil memuji-muji keluarga Tuan Farizi.

“Saya tahu permintaan saya ni terlalu mementingkan diri, tapi saya sebagai ayah kepada Fakhrul serious dengan hal ni. Perkahwinan bukan boleh di buat main Laila. Kalau boleh kami nak terus jumpa keluarga awak, tapi tak nak la awak terkejut. Baik kami dapat pandangan dan persetujuan awak dulu” jelas Tuan Farizi. Puan Zaleha hanya tersenyum gembira. Tuan Farizi dan Puan Zaleha memang baik, tak sombong, peramah pula tu. Laila terasa di awangan apabila kedua ibu bapa Fakhrul menjelaskan hajat sebenar mereka untuk menjadikan Laila sebagai menantu iaitu isteri kepada Fakhrul.

“Entah la Muz, aku macam tak percaya. Rasa macam dalam mimpi pun ada. Siapa la aku ni sampai mamat tu tergilakan? Takkan la sebelum ni dia tiada girlfriend lagi. Apa yang buatkan dia berkenan kat aku? Aku betul-betul tak faham la Muz” makin keliru jadinya Laila. “Kau tak tanya Fakhrul sendiri ke? Kalau kau duk bertanya aku, sampai bila-bila pun kau takkan dapat jawapan Laila. Tapi apa yang pasti, mungkin juga mamat tu nampak keikhlasan dan kejujuran kau. Mungkin juga dia sedar hanya kau saja yang mampu lawan dia sebelum ni, naikkan suara kepada dia. Mungkin dia nampak apa yang si Razif tak nampak. Tak semua lelaki sama Laila. Mungkin tu jodoh kau, tapi semua tu atas diri kau. Kau buat la keputusan yang terbaik” Muzlifa sentiasa menyokong Laila dalam apa jua keadaan.

“Saya memang serius Laila. Sebenarnya kali pertama kita jumpa lagi saya dah jatuh cinta dengan awak. Tapi saya pendam semua tu sebab saya takut kalau saya luahkan perasaan saya, awak akan jauhkan diri dari saya. Macam mana dengan projek kerjasama tu nanti. Sekali lagi bila awak datang lewat, bukan niat saya nak marah awak tapi sebenarnya saya cemas. Saya takut Syarikat Aman Mewah dah gantikan awak dengan orang lain. Saya memang ikhlas Laila. Keluarga saya pun dah setuju dengan keputusan saya. Saya rasa awak pun dah kenalkan keluarga saya macam mana” terketar-ketar Fakhrul meluahkan isi hatinya. “Tapi Encik Fakhrul…” belum sempat Laila berkata-kata, Fakhrul memintas dengan menutup bibir manis Laila dengan jarinya. “Boleh tak untuk permulaan ni awak biasakan panggil saya Fakhrul, Encik-encik ni terlalu formal la. Saya rasa macam duk office jer...” dengan lembut dan senyum di bibir Fakhrul menuturkan kata-kata. ‘Memang dia seorang yang perfect. Ya Tuhanku, kalau ini adalah mimpi Kau biarkanlah aku bermimpi buat seketika. Jika ini adalah benar, aku berterima kasih dan bersyukur dengan pemberianMu’ Laila menangis dalam hati.

“Dia tahu ke pasal keluarga kita Laila? Kita dah tak ada mak ayah. Laila hanya ada Along, Abang Khairul dan 3 orang anak buah ni jer. Ni saja keluarga kita yang ada sekarang Laila. Along tak nak nanti ada orang duk cakap-cakap kat belakang pasal kelaurga kita dengan mereka” jelas Along tentang perancangan keluarga Tuan Farizi. “Laila pun terfikir benda yang sama macam Along, sebab tu lah Laila nak Tuan Farizi dan Puan Zaleha jumpa sendiri dengan Along dan Abang Khairul. Putih kata Along, putih la kata Laila. Laila pun dah tak ada siapa-siapa dalam dunia ni selain dari Along sekeluarga. Susah senang Laila selama ni hanya Along dan Abang Khairul saja yang tahu” airmata terus mengalir antara mereka berdua. Khairul hanya tersenyum tanda gembira kerana keakhraban isterinya dan adik iparnya itu yang sudah di anggap seperti adik sendiri.

“Kami ikhlas untuk jadikan Laila sebagai menantu kami. Lagipun Laila tak ada cacat celanya pada kami. Apa yang penting Fakhrul sendiri yang betul-betul berkenan dengan Laila. Kami sekeluarga memang dah tahu serba sedikit tentang Laila dari Muzlifa kawan baik Laila. Kami memang berkenan sangat dengan pilihan Fakhrul” dengan ramah dan lembut Puan Zaleha menuturkan kata-kata. Walaupun hidup dalam kemewahan, mereka sekeluarga tidak sombong dan bongkak.

“Razif dengar Laila akan berkahwin dengan CEO terkenal kat Kuala Lumpur? Hebatkan Laila sekarang. Razif rasa baru 2 tahun Laila pergi KL, terus dapat tangkap CEO. Entah-entah CEO tu hanya nak main-mainkan Laila je. Kita ni orang kampung Laila, tak setaraf dengan mereka. Ya, Razif tak nafikan Laila memang cantik, cerdik, lengkap sebagai seorang wanita. Razif akui juga dulu Razif buta, tak dapat nak bezakan antara kaca dengan permata. Perempuan tu hanya nak permainkan Razif, Laila. Setahun kita putus, baru Razif tahu dia hanya nak gunakan Razif. Razif cari Laila, tapi Along kata Laila dah dapat tawaran kerja kat KL. Razif masih cintakan Laila. Kita mulakan hidup baru bersama Laila? CEO tu hanya nak permainkan Laila. Tak mungkin orang terkenal seperti tu nak jadikan Laila sebagai isteri dia…” belum sempat Razif berkata-kata, Laila melepaskan tamparan ke pipi Razif. “Kenapa Razif? Kenapa? Teruk sangat ke Laila ni? Buruk ke Laila di mata Razif? 8 tahun belum cukup untuk Razif kenal Laila kan? Lepas Razif tinggalkan Laila dengan alasan kita dah tak ada jodoh, sekarang Razif muncul tuk memburuk-burukkan orang lain. Tak semua lelaki dalam dunia ni macam Razif. Kalau betullah dia hanya nak mainkan Laila, itu semua bukan masalah Razif. Sekarang hidup kita tak ada kena mengena. Kita ikut haluan masing-masing. Laila sekarang bukan Laila dulu, Laila sekarang tahu bezakan kaca dan permata. Cukup setakat ni, jangan ganggu hidup Laila lagi” airmata mengalir dengan lajunya kerana kecewa dengan sikap seorang lelaki yang pernah berkongsi suka dan duka bersama.

“Mama dan papa syukur sangat sebab diberikan menantu sebaik dan sehebat Laila. Mama betul-betul berterima kasih dengan Laila sebab dapat buka pintu hati anak lelaki mama untuk berkahwin. Dulu Fakhrul pernah kecewa sebab seorang wanita, mama ingat dia akan terus tutup pintu hati dia buat selamanya. Tapi Alhamdulillah kehadiran Laila satu hikmah yang tak dapat mama bayangkan” Laila betul-betul terharu dengan kata-kata Puan Zaleha. Laila tahu cerita tentang kekecewaan Fakhrul berkenaan kisah cintanya yang kecundang di tengah jalan. Mungkin kekecewaan mereka berdua telah menyatukan mereka dalam ikatan suami isteri yang sah. “Laila yang bertuah sebab dapat kenal Abang Fakhrul. Laila yang patut bersyukur kerana diberi keluarga sehebat keluarga mama dan papa, diberikan peluang merasa kembali nikmat ada ibu dan ayah. Laila hanya mampu berdoa moga keluarga kita ni diberkati dunia dan akhirat mama. Laila banyak kekurangan jika di bandingkan dengan Abang Fakhrul. Laila hanya…” Puan Zaleha terus memeluk menantunya itu dari teruskan kata-kata. Mereka berdua menangis tanda mensyukuri nikmat kebahagiaan yang di miliki kini.

“Abang memang seorang lelaki yang paling bertuah dalam dunia sebab dapat kenali dan akhirnya miliki cinta Lailatul. Lailalah wanita yang paling bermakna dalam hidup Abang sebab dapat melembutkan hati dan membuka pintu cinta Fakhrul Faiz Farizi untuk menerima cinta buat sekian kalinya. Cinta, kasih dan sayang Abang hanya untuk wanita bernama Lailatul” sambil tersenyum Fakhrul menutur kata, lalu dipeluk isteri kesayangan kedalam dakapannya. Laila tidak dapat lagi membendung airmata dari mengalir.

“Lailalah wanita paling bertuah sebab dapat miliki Abang. Bukan sahaja suami yang Laila dapat, tapi Laila dapat kasih sayang mama dan papa yang dah lama Laila hilang. Terima kasih Abang. Doa Laila moga kita dapat harungi kehidupan ini dengan sabar dan tabah serta kebahagiaan akan sentiasa bersama kita sekeluarga” hampir kehilangan suara Laila berkata-kata. Mereka terus melayari kehidupan bersama dengan penuh kenikmatan berkeluarga.

‘Ya Allah, Kau berkatilah kehidupanku ini dengan kebahagiaan. Hanya doa dan sujud syukur padaMu sahaja yang dapat ku panjatkan. Kau lindungilah keluargaku serta sahabatku Muzlifa di dunia dan akhirat. Mak, ayah, Laila dah ketemu cinta sejati dan kasih serta sayang sebuah kelaurga. Laila tetap akan doakan moga mak dan ayah bahagia di sana…’

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...